19 January, 2012

Bila Saya Ingin Bercuti...

Sekarang ni saya dalam proses membuat "kajian" ke manakah destinasi paling sesuai untuk dilawati bagi tahun 2012 ini. Seperti tahun-tahun lepas, saya sebolehnya ingin mencipta kenangan manis bila menyambut hari-hari istimewa, seperti Hari Jadi dan Hari Ulang Tahun Perkahwinan...tambahan pula bila melihat kalendar, Malaysia ni memang banyak Cuti Umum! Malah, majikan saya bermurah hati memberi "Birthday Leave" pada tanggal hari jadi warga kerjanya :)

Jadi, inilah antara perkara-perkara penting yang saya akan ambil kira sebelum bercuti;

1. BUDGET
Bila dapat tahu lingkungan budget yang hendak dibelanjakan, barulah dapat dikenal pasti destinasi yang "mampu" ditujui! Paling basic, kita perlu fikirkan harga perjalanan/tiket. Kalau bercuti di dalam Malaysia, nak memandu sendiri perlu tahulah berapa lingkungan harga tol dan duit minyak pergi balik. Dan kalau ke luar negara, harga tiket kapal terbang adalah perkara paling mustahak untuk menentukan ke mana percutian kita! Dengan promosi Airasia tu kadang-kadang melancong ke luar negara boleh jadi lebih murah dari cuti-cuti Malaysia. Ya, itulah realitinya...tak semestinya kena "banyak duit" untuk berjalan jauh, tapi lebih kepada harus "banyak ilmu" untuk merebut peluang itu. :)

2. TARIKH & CUACA
Ada sebab saya gabungkan masa dan cuaca ni, kerana kedua-duanya saling berkait terutamanya bila hendak ke luar negara. Pernah seorang rakan terpaksa membeli tiket pada tarikh lain ke destinasi yang sama kerana terlalu ghairah mendapatkan tiket penerbangan murah tapi rupa-rupanya pada musim hujan...dan aktiviti yang boleh dilakukan agak terhad di situ.

3. KELENGKAPAN
Dan selepas mengenal pasti destinasi dan cuaca, kita perlulah menyediakan pakaian yang sesuai ke destinasi tersebut. Jaket tebal atau t-shirt nipis? Semua tu kenalah tahu sebelum berangkat kan! Seperti saya ni agak telitilah bila bersiap sebab tak mahu di sana nanti tergesa-gesa hendak mencari kelengkapan yang sepatutnya. Paling ringkas, perlu ada sepasang kelengkapanlah bila mendarat, nanti kita sorang saja yang menggigil pula. Jadi, menyiapkan kelengkapan ini pun berbalik kepada budget jugak, sebab baju tebal terutamanya bukanlah murah...nak pulak kalau inginkan warna-warna tertentu (macam saya ni nak pink kan) hehehe perlu ambil kiranya perbelanjaan sebelum berangkat tu...

Lepas tu beg tarik atau beg besar. Kena belilah kalau yang kerap ke sana-sini. Macam saya dan suami ni kami memang perlu beli beg travel yang baru sebab yang lama tidak lagi dalam keadaan memuaskan...hah kat situ dah tambah lagi perbelanjaan sebelum berangkat....

4. PENGINAPAN

Dengan kecanggihan teknologi sekarang, segalanya boleh google nak tahu tempat mana paling berbaloi, paling strategik dan paling banyak orang recommend. Tripadvisor.com adalah yang kerap saya kunjungi untuk membuat rujukan. Ada juga info berguna daripada teman-teman di Facebook yang bercerita tentang pengalaman mereka kat hotel itu ini, ha dari situlah kita boleh ambil kira soal logistik ini.

Dan tempahan juga lebih baik dilakukan secara Online saja kerana kita boleh buat perbandingan dan mendapatkan "Internet Rates" yang lebih murah. Malah jika lebih awal buat tempahan, lebih diskaun yang boleh kita dapat.

5. AKTIVITI
Penting untuk tahu apa aktiviti yang akan dilakukan di sana nanti. Macam saya memang tak suka nak terperap dalam bilik hotel sahaja. Rugi rugi. Biarlah masa itu dihabiskan meneroka tempat yang dikunjungi itu, dan bergantung pada destinasi, adakalanya lebih baik ambil Ground Package atau adakalanya tidak berbaloi dan boleh dituju sendiri sahaja jika destinasi yang dipilih itu mempunyai sistem pengangkutan yang efisyen. Memadai kita bergantung pada peta bandarnya dan berjalan ke sana-sini seperti pengembara!

Biasanya saya akan buat jadual aktiviti, kalau sampai sana nak ikut ke tidak jadual itu perkara kedua. Sekurang-kurangnya kita dah tahu "misi" kita di sana hehe. Biasanya "misi membeli-belah" paling tidak boleh ditinggalkan. :)

Indonesia 2008

Singapura 2007


Amerika 2008

Australia 2009
 Namun walau teliti bagaimanapun perancangan kita, ingatlah bahawa kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Ada seorang teman saya yang sangat excited untuk pergi melancong ke negara-negara Eropah, sudah lengkap segalanya persiapannya, sudah terbayang segala tempat yang hendak ditujuinya dan bila beliau tiba di sana, beliau mengalami demam yang teruk dan terpaksa berpatah balik ke Malaysia serta dimasukkan ke hospital di sini. Begitulah, kesihatan juga harus dijaga sebaiknya terutamanya bila hendak bercuti.

No comments: