09 December, 2010

Sudah tiba masanya?

Ya sudah tiba masanya aku beri perhatian khusus pada penjagaan kulit wajah. Bukanlah bermakna wajahku ini sudah kerepot seperti kulit naga pencen, tapi sebetulnya sudah ada tanda-tanda penuaan di wajahku ini! Ya sudah mula terbit garis-garis halus di sekitar dahiku...mungkin kerana aku sering kali suka mengeriutkan wajah bila ada sesuatu yang pelik bermain di fikiran.

Jadi semalam aku pun melangkahkan kaki ke salah sebuah pusat beli-belah kegemaranku. Di situlah juga terletaknya satu butik penjagaan kecantikan yang telah lama ku tenang-tenangkan produknya. Menariknya butik ini sungguhlah budiman memberikan sampel percuma untuk pelanggan yang betul-betul cenderung hendak mencuba. Tapi anda perlulah ke situ dan menunjukkan minat, menceritakan masalah mahupun keperluan anda bagi dia menilai dan memberikan rangkaian yang barang kali sesuai untuk anda. Ini kerana tak guna bawa pulang sesuatu yang mahal tapi tidak sesuai.

Jadi dipendekkan cerita, aku telah pun mendapatkan beberapa botol dan tiub buat kulit wajahku ini. Setelah membayar, timbul rasa bersalah yang AMAT kerana berbelanja agak banyak hanya untuk membeli sesuatu yang hanya 'cecair'! Aku benci betul dengan perasaan itu!!! ARGHHHHHHHHH!!! 

Lantas terus ku ragut telefonku dan menghantar BBM kepada rakan baikku sambil memandu kereta pulang (ya aku punya skill itu!) untuk meminta dia meyakinkan diriku bahawa aku telah membuat perkara yang betul. Ternyata Fiza berjaya membolosi dinding rasa bersalah aku apabila dia berkata umurku semakin TUA, telah tiba masanya untuk melabur demi penjagaan kulit wajah. Ditokoknya lagi dengan menyuruhku membuat pengiraan berapa jumlah sebenar yang ku belanjakan seharian untuk kulit kerana produk ini boleh bertahan lama dan sememangnya memberi kesan yang bagus...


Hahhh...bila sampai aku bingkas ke bilik air dan bersemangat betul untuk mandi lalalala...sehingga suamiku sendiri mengangkat kening dan menggelengkan kepala.

03 December, 2010

Siapa tak suka berjalan?

Hari ini AirAsia membuat promosi tiket New Zealand pula. Selepas satu, satu destinasi yang berjaya ditaklukinya bermula dari negeri-negeri dalam Malaysia, kemudian rantau Asia, dan kini ke Eropah pun ya. Memang banyak rungutan kita dengar mengenai syarikat penerbangan tambah murah ini. Termasuklah aku sendiri yang ada pengalaman kurang manis bersamanya. Namun bagi aku, secara peribadinya, AirAsia telah banyak membantu membuka mata aku tentang dunia di luar sana. Sejak aku mula bekerja sekitar tahun 2003, aku bertatih belajar membuat tempahan secara online dan mula berjalan ke negara-negara jiran.

Disebabkan tiket harga patut yang ditawarkan inilah aku mampu membawa kedua ibu bapa berjalan ke beberapa destinasi pilihan mereka. Siapa tak seronok bila dapat merakam memori percutian bersama orang yang paling kita sayang. :) Setelah mendirikan rumah tangga juga, aku dan suami berlepas ke destinasi bulan madu dengan syarikat penerbangan ini. Walaupun ada saja perkara yang aku kurang berpuas hati setiap kali keluar dari LCCT, tapi disebabkan harganya MURAH, ku beli jua untuk destinasi seterusnya...!!!

Pada aku, hidup ini terlalu pendek untuk kita sia-siakan terperuk di rumah sahaja!


Kenangan indah di Melbourne, Australia - June 2009